Isnin, 23 April 2012

Ujian dari Allah

Ujian dari Maha Esa. Semoga cepat sembuh dan dapat berbakti kepada masyarakat.



Azizah Mohd. Dun stabil, alami kesakitan ringan


KOTA KINABALU 23 April - Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd. Dun yang terlibat dalam kemalangan awal pagi semalam berada dalam keadaan stabil dan hanya mengalami kesakitan ringan.

Pakar Runding Bedah Saraf dan Tulang Belakang Hospital Queen Elizabeth 2, Dr. Pulivendhan Sellamuthu yang merawat Azizah berkata, Azizah mengalami sedikit trauma dan diberi rehat secukupnya sebelum dibenarkan keluar dari hospital.

"Datuk mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian atas bahu dan belakangnya. Beliau dalam keadaan stabil dan amat baik kecuali rasa sakit itu," katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yang menziarahi Azizah di hospital itu hari ini.

Dr. Pulivendhan, yang juga memberi taklimat perkembangan Azizah kepada Musa berkata, kesakitan dialami menteri kabinet Sabah itu perlu mengambil masa untuk pulih sepenuhnya.
Dalam kejadian pukul 7.45 pagi, kereta yang dipandu pemandu Azizah, Yousriesyah Hujin, 33, tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki arah bertentangan dan melanggar besi penghadang jalan berdekatan Hotel Airport View, di KM6, Jalan Kepayan di sini.

Yousriesyah kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth 1 dekat sini dan keadaannya juga stabil manakala pengawal peribadinya, Sairun Hamid, 51, masih memerlukan rawatan rapi susulan kaki kirinya dipotong akibat tersepit.
Musa juga menziarahi Sairun yang masih menerima rawatan di hospital itu.

Isteri Sairun, Norazlin Mohd Amin, ketika ditemui pemberita berkata suaminya juga masih memerlukan rawatan lanjut ekoran kaki kanan Sairun mengalami keretakan.

"Kami tunggu keputusan doktor berhubung keadaan kaki kanannya. Setakat ini kondisinya okay... semangat dia masih kuat dan semua pihak harus terus beri sokongan dan mendoakan yang terbaik untuknya," katanya yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.

Norazlin berkata beliau bergegas pulang ke Kota Kinabalu sejurus menerima panggilan daripada kawan suaminya tentang kemalangan itu pada pukul 9 pagi semalam. - BERNAMA

Blogger 1

bmf

bmf