Khamis, 9 Mei 2013

Memang Sah

 Diaorang cakap macam ni pun, mana penyokong PR percaya....

 


PUTRAJAYA 8 Mei - Proses pengundian yang berlangsung dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 Ahad lalu, mempunyai kewibawaan dan boleh dipercayai.
Perkara itu diakui tiga kumpulan pemantau proses tersebut iaitu Pusat Kajian Polisi Awam (CPPS) dan Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) serta Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas).
Pengerusi CPPS, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, secara keseluruhan keputusan pilihan raya yang diumumkan juga adalah sah.
Katanya, meskipun terdapat beberapa kecacatan kecil dilaporkan namun proses pengundian berjalan lancar dan dalam masa sama sukar mendapat proses yang 100 peratus sempurna.
"Secara keseluruhan keputusan itu adalah berwibawa walaupun terdapat kecaman.
"Selain itu, BN juga tidak berhadapan situasi Parlimen tergantung sebaliknya parti itu berjaya mendapat majoriti yang ketara dalam pilihan raya kali ini," katanya dalam sidang akhbar mengenai laporan Pilihan Raya Umum Ke-13 di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Eksekutif Ideas, Wan Saiful Wan Jan dan Pengarah Asli, Tan Sri Dr. Michael Yeoh.
Menurut Ramon, pemerhatian pihaknya di beberapa tempat mengundi di sekitar Lembah Klang juga tidak mendapati berlakunya sebarang penipuan.
Katanya, setiap proses berjalan lancar dan dipantau ejen parti masing-masing setiap masa.
"Kami berada di Damansara, Petaling Jaya, Bangsar dan Segambut, secara jujurnya tiada bukti berlaku penipuan dan kesilapan di pusat mengundi.
"Tiada isu orang lain boleh nampak pengundi pangkah sesiapa dan setiap prosedur dipantau," katanya.
Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, pihaknya menerima keputusan tersebut dengan terbuka kerana tidak mendapati sebarang kesilapan sepanjang pemantauan dijalankan.
"Saya terima keputusan ini kerana saya tidak berani mendakwa berlaku kesilapan dalam pilihan raya lalu dan dalam masa sama, kesilapan itu tidak memberi kesan kepada keputusan yang diterima.
"Walau bagaimanapun, saya hormati pendapat yang mempersoal proses pilihan raya kali ini, tetapi saya sendiri tidak mempersoalkannya kerana saya tidak nampak bagaimana isu ini boleh memberi faedah kepada negara," katanya.
Dalam masa sama, beliau turut berpendapat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak seharusnya dikritik berterusan sebaliknya pandangan bernas perlu diberikan untuk memperbaiki sistem sedia ada.

sumber Utusan


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger 1