Khamis, 12 Januari 2012

Bela Saiful

Saiful perlu pembelaan

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Pengadu kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Mohd. Saiful Bukhari Azlan mungkin mendapat pembelaan lebih wajar sekiranya pihak pendakwaan membuat rayuan terhadap kes itu.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, keputusan mahkamah Isnin lalu tidak bermaksud tuduhan liwat terhadap Mohd. Saiful tidak berlaku.

Menurutnya, rayuan harus dipertimbangkan kerana pembebasan Ketua Pembangkang dalam kes tersebut diputuskan berdasarkan masalah teknikal.

"Pihak pendakwa harus segera memfailkan rayuan bagi memastikan Mohd. Saiful mendapat keadilan yang sewajarnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ibrahim berkata, jika rayuan itu diterima, keputusan yang bakal diputuskan oleh Mahkamah Rayuan tidak semestinya sama dengan apa yang telah diputuskan Mahkamah Tinggi.

"Keputusan itu dibuat atas pemikiran seorang hakim sedangkan jika ia dibawa ke Mahkamah Rayuan tiga orang hakim akan menilai.

"Biarlah kes itu dilihat oleh tiga hakim, mungkin keputusannya akan berbeza," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah berkata, pembelaan terhadap Mohd. Saiful itu nanti amat bergantung kepada kebijaksanaan pendakwa raya.

"Kita tidak boleh terima sahaja dengan keputusan lalu kerana keadilan untuk mangsa harus diperjuangkan.

"Bahkan jika keputusan masih berpihak kepada Anwar, kita harap kes akan dibawa sehingga ke Mahkamah Persekutuan," katanya.

Beliau berkata, sebagai persatuan mahasiswa, Aspirasi mengikuti setiap episod perbicaraan kes dan percaya wujud asas untuk mengatakan Anwar terlibat, cuma ia mungkin tidak disokong oleh bukti-bukti tertentu.

Mohd. Shahar turut menyatakan kekesalan di atas persepsi buruk orang ramai terhadap Saiful ekoran kegagalan mereka memahami sepenuhnya keputusan mahkamah.

"Justeru saya rasa pihak Peguam Negara perlu membuat sidang akhbar untuk menjelaskan bagaimana keputusan itu dibuat.

"Jangan sampai Saiful dipersalahkan sepenuhnya dan banyak persepsi akan timbul kerana anak muda ini masih mempunyai masa depan yang jauh," katanya.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee turut menggesa pihak pendakwaan berusaha lebih gigih demi pembelaan Mohd. Saiful Bukhari.

Katanya, selepas melalui segala proses perbicaraan, pihak pendakwa mungkin sudah mengetahui bahagian-bahagian pendakwaan yang lompong sebelum ini.

Beliau turut menggesa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan pengalaman dalam bidang perundangan membantu pembelaan kes tersebut.

"Sumbangan yang dihulurkan itu mungkin dapat membantu mengurangkan kos rayuan dan guaman yang ditanggung sendiri oleh Mohd. Saiful Bukhari untuk membawa kes itu ke peringkat rayuan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, seperti yang semua tahu, keputusan mahkamah baru-baru ini tidak membuktikan mangsa tidak diliwat oleh Anwar, cuma Ketua Pembangkang dilepas dan dibebaskan kerana kekurangan bukti.

"Sekiranya Anwar melakukan sumpah laknat seperti yang dilakukan Saiful, segala kos dan tekanan yang dihadapinya mungkin tidak seteruk hari ini," katanya.

Blogger 1