Jumaat, 26 Oktober 2012

Salah Melayu/Bumiputera


Aku suka artikel kat bawah ni, mungkin kalau kat sini ada juga yang baca. Kat BH agak tersorok. 

Bagi aku, bukan Melayu/Bumi ni hanya suka kerja  dalam perkhidmatan awam jika dapat pegang jawatan tinggi. Kalau kerja sekadar jadi orang bawahan memang dia orang tak pandang. Tu sebab jawatan pangkat rendah ni kebanyakannya diisi oleh orang Melayu/Bumi.




Salah bukan Melayu jika tidak minat khidmat awam

Rejal Arbee
           Pautan


Diskriminasi firma swasta tak pernah diungkit
          

Dakwaan kononnya perkhidmatan awam tidak mencerminkan jumlah komposisi rakyat negara ini dan dimonopoli orang Melayu tidak habis-habis diungkit. Selain itu, jumlah 1.4 juta penjawat awam, dikatakan jumlah yang begitu besar sehingga melebihi nisbah negara lain di dunia. Sememangnya apabila melihat jumlah begini tanpa mengetahui keadaan sebenar, semua orang akan bersetuju perkhidmatan awam negara ini sememangnya besar.


Tetapi apakah dakwaan ini benar? Kenapakah mereka tidak mahu memperincikan kedudukan sebenar jumlah yang dikatakan terlalu besar itu? Sebenarnya angka 1.4 juta itu juga merangkumi perkhid-matan lain termasuk guru, kakitangan polis dan tentera, kakitangan institusi pengajian tinggi awam mahu pun kakitangan kesihatan.

Jika bukan Melayu jarang mahu mohon jawatan dalam kerajaan kerana lebih suka berkhidmat dengan swasta, apakah ini pun salah orang Melayu?"
Jika dilihat ia merangkumi 500,000 guru, hampir 100,000 pensyarah dan kakitangan lain di institusi pengajian tinggi awam, lebih 200,000 polis dan anggota tentera, lebih 100,000 kakitangan hospital, klinik dan pertubuhan kesihatan awam. Jumlah penjawat awam yang sebenar hanya 400,000 orang.

Apakah jumlah ini terlalu besar berbanding jumlah keseluruhan penduduk. Apakah nisbahnya masih terbesar di dunia seperti didakwa mereka yang sengaja mahu memperlekehkan negara sendiri?

Kemudian dinyatakan juga perkhidmatan awam hanya memberi peluang kepada orang Melayu. Gambaran yang hendak diberikan kononnya bukan Melayu tidak mendapat tempat, malah terus ditindas.

Jika bukan Melayu jarang mahu memohon jawatan dalam kerajaan kerana lebih suka berkhidmat dengan swasta yang dikatakan memberi pendapatan lebih baik, apakah ini pun salah orang Melayu?

Dalam pada itu, timbul juga kononnya beberapa kerat bukan Melayu yang ada dalam perkhidmatan awam dan semuanya menghadapi diskriminasi apabila hendak naik pangkat. Kononnya sukar sekali bukan Melayu mendapat pengiktirafan walaupun menunjukkan prestasi baik.

Jelaslah, mereka sengaja membutakan mata antara 25 kementerian yang wujud sudah terdapat lima bukan Melayu memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha, merupakan 25 peratus daripada jumlah keseluruhan. Adakah ini menunjukkan bukan Melayu masih didiskriminasi?

Oleh kerana ketika ini terlalu kerap perkara ini ditimbulkan, perkhidmatan awam sendiri melakukan pelbagai usaha untuk menggalakkan lebih ramai bukan Melayu memohon untuk bekerja dengan kerajaan. Pelbagai kempen diadakan untuk menambah jumlah bukan Melayu memasuki perkhidmatan awam.

Dalam pada itu, kenapa tidak pernah ditimbulkan soal berapa kerat Melayu yang diberi peluang bekerja dalam syarikat swasta? Kenapa kedudukan orang Melayu yang amat kecil dalam syarikat swasta dikuasai bukan Melayu tidak dibangkitkan sama atau mungkin tidak siapa mahu mengambil kisah? Kenapa tidak pula mahu diadakan kempen dan usaha syarikat bukan Melayu mengambil lebih ramai kakitangan Melayu dan adakah orang Melayu tidak menghadapi diskriminasi?

Berapa banyak antara syarikat itu yang melantik Melayu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) mereka? Jangankan CEO, Melayu yang berjawatan peringkat pengurusan menengah pun susah hendak dicari.

Ini juga sepatutnya difikirkan oleh mereka yang membuat tuduhan melulu kononnya bukan Melayu dipinggirkan dalam perkhidmatan awam.

Dalam pada itu, laporan akhir oleh Ketua Audit Negara mengenai kedudukan perbelanjaan dalam perkhidmatan awam untuk tahun lalu yang membabitkan perlakuan penjawat awam masih membingungkan.

Kenapakah perlakuan yang tidak boleh diterima masih berlaku dalam sesetengah agensi dan jabatan awam? Apakah pelaku yang mengabaikan peraturan kewangan sehingga ada yang tidak masuk akal dilaporkan bertahun-tahun sebelum ini tidak dikenakan tindakan hingga perlakuan seumpama itu berterusan berlaku? Apakah Jabatan Perkhidmatan Awam, kementerian dan jabatan serta agensi kerajaan sudah bertindak ke atas pegawainya yang menyeleweng peraturan kewangan?

Apakah kontraktor yang membuat kerja tidak memuaskan sehingga kerajaan terpaksa menanggung bebanan kos yang berlebihan untuk membaiki kerja selekeh mereka sudah disenaraihitamkan? Malangnya gambaran yang boleh disimpulkan seolah-olah pegawai bertanggungjawab terhadap sesuatu projek atau pembelian tidak mengambil kisah terhadap hal sedemikian.

Maka itu setiap tahun laporan tahunan Ketua Audit Negara yang dibentangkan di Parlimen selalunya sarat dengan wujudnya kelemahan pengurusan kewangan demikian.

Yang lebih memusykilkan ialah perbelanjaan ke atas pelbagai jenis barangan yang kemudian dibiarkan saja tanpa digunakan atau melantik kontraktor yang tidak dapat menyelesaikan projek dengan memuaskan atau dapat menyiapkannya tetapi sarat dengan pelbagai kecacatan.

Salam Aidil Adha

Selamat menyambut Hari Raya Korban.



Blogger 1

bmf

bmf